ICT PENERAP ILMU PENGETAHUAN
Kita memang tahu bahawa dalam kehidupan manusia ini sudah pelbagai teknologi diperkenalkan. Tiap satunya telah dapat membantu usaha membawanya ke satu kehidupan yang lebih sejahtera, bahagia dan cemerlang. Tiap yang menggunakan teknologi-teknologi ini telah maju dan membangun dengan pesat dan pantas.
Antara teknologi ini ialah ICT atau Teknologi Komunikasi dan Maklumat. Yang tidak mengenalinya, akan berkata bahawa teknologi ini tidak ada gunanya. Ia amat mengelirukan. Ia lebih berguna untuk bermain dan berhibur semata-mata …. atau lebih berfaedah kepada generasi muda. Akan tetapi, teknologi ini telah banyak membawa perubahan kepada dunia … terutama kepada penggunanya. Banyak perkara dapat diselesaikan dengan teknologi ini. Dan banyak ilmu pengetahuan, pengalaman, maklumat dan data dapat diperolehi melaluinya.
Jadi dalam post kali ini, kita lihat penglibatan kita di negara ini dalam teknologi ini. Kita lihat bagaimana serius dan komitednya kita kepada penggunaannya … untuk membawa kita ke kehidupan yang lebih baik.
Untuk ini kami paparkan petikan satu pandangan dan pendapat yang kami harap mampu merobah fikiran insan yang masih khuatir dan waswas mengenainya.
ILMU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT)
Kertas Kerja yang dibentangkan di dalam SEMINAR BAHASA DAN PEMIKIRAN MELAYU, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, yang telah diadakan dalam bulan Januari 2002.
Tajuk Kertas Kerja ini: TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT) PENGUPAYA MASYARAKAT MELAYU BERASASKAN PENGETAHUAN.
Kertas Kerja ini dihasilkan oleh Mashkuri Yaacob, A.N. Zainab, N.N. Edzan, Abrizah Abdullah, dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya.
Kita mungkin telah lama berpeluang mencapai status masyarakat madani berasaskan pengetahuan sekiranya masyarakat kita memiliki keupayaan memperolehi, menyusun, mencapai, dan menyebarkan maklumat (sama ada maklumat peribadi atau umum) melalui teknologi maklumat dan komunikasi untuk menyokong proses penggubalan dasar dan pembangunan negara. Pertukaran, penggunaan dan penyerakan maklumat membantu memperhebatkan proses pembangunan dan mengurangkan jurang di antara individu kaya maklumat dan miskin maklumat di dalam masyarakat. Dasar pemangkin persekitaran ini adalah infrastruktur ICT yang bertindak sebagai tulang belakang untuk rangkaian pengetahuan, membolehkan penghantaran kandungan maklumat tempatan dan umum dengan kadar pantas kepada semua sektor; daripada program-program pendidikan jarak jauh, tele-perubatan seperti akses kepada maklumat mengenai amalan dan pengalaman yang terbaik kepada pembentukan pekerjaan baru. Teknologi telah membenarkan setiap individu mencapai data daripada tapak-tapak tertentu dan menambahkan nilai kepada maklumat tersebut dengan meletakkan prioriti, menterjemah dan mengemaskini. Pengetahuan dengan ini diiabadikan melalui penambahan nilai dan customization yang berterusan.
MASYARAKAT MELAYU DAN ICT
Melihat kerancakan pembangunan ICT di negara ini, timbul pertanyaan tentang kedudukan orang Melayu di era ICT terutama di kalangan masyarakat Melayu di luar bandar. Adakah masyarakat Melayu telah bersedia untuk menerima ICT dan menggunakannya untuk faedah dan kebaikan diri mereka? Bagaimanakah mereka melihat persoalan itu termasuk mengasimilasikan diri dalam era ICT? Kajian tinjauan di peringkat kebangsaan menunjukkan bahawa masyarakat Melayu berada pada tahap yang agak baik dari aspek kepekaan mereka terhadap kepentingan sains dan teknologi di dalam memperbaiki kehidupan seharian. Kajian tinjauan MASTIC (1997) mengenai kepekaan masyarakat awam terhadap konsep-konsep sains dan teknologi menunjukkan bahawa prestasi orang Melayu secara amnya agak sama dengan kumpulan etnik lain. Hasil kajian daripada soal selidik yang ditadbirkan ke atas 2,000 responden (48% Melayu ke atas 16 soalan yang menguji kefahaman mereka tentang istilah sains asas menunjukkan bahawa responden Melayu mendapat purata 54.9% jawapan yang betul, berbanding dengan 52.9% Cina dan 51.1% India. Skor purata di kalangan kanak-kanak dan belia Melayu tidak jauh berbeza dengan kumpulan etnik yang lain (Kanak-kanak – Melayu:6.08, Ciina:6.18, India:5.96; Belia – Melayu: 6.82; Cina:7.09; India: 6.4 – berdasarkan skor purata yang diperolehi daripada 16). Survey tersebut turut mengenalpasti minat responden terhadap pelbagai dasar awam dan S & T di kalangan kumpulan etnik dan mendapati bahawa semua bangsa menunjukkan sikap yang sederhana terhadap “application of computer technology”; dengan skor purata bagi Melayu adalah 3.39, Cina – 3.25, dan India 3.31 (berdasarkan skala Likert iaitu daripada 1 tiada, kepada 4 cemerlang). Survey tersebut jelas menunjukkan bahawa kebanyakan orang Malaysia mempunyai persepsi positif terhadap isu-isu sains dan teknologi. Sebagai contoh, 78% menyatakan bahawa sains adalah sangat perlu, 82.8% menyatakan bahawa sains & teknologi memperbaiki kehidupan manusia manakala 58.6% berpendapat bahawa komputer telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, dan sikap positif ini lebih terserlah di kalangan mereka yang berpendidikan tertiari. Responden daripada negara-negara lain menunjukkan reaksi yang berbeza terhadap pernyataan “computers and automation would create more jobs than they would eliminate” (Science and engineering indicators, 1993). Hanya 19% orang dewasa Eropah, 39% Amerika dan 43% Jepun berkongsi pandangan optimistik mengenai automasi dan kewujudan peluang pekerjaan ekoran daripadanya. Mungkin mereka lebih berpengalaman di dalam aspek ini, jika dibandingkan dengan orang Malaysia, justeru itu mereka lebih sedar akan ekoran daripada automasi.
Adalah tidak benar sama sekali jika dikatakan bahawa orang-orang Melayu tidak peka atau tidak menggunakan info-struktur yang sedia ada. Hasil penyelidikan juga mendapati bahawa 98.2% orang Melayu menonton televisyen, 96.1% membaca akhbar, 87.9% mendengar radio, 80.9% membaca majalah, tetapi hanya 20.3% membaca majalah berasaskan sains. Bagaimana pun, corak ini adalah seakan-akan sama dengan peratusan di kalangan masyarakat Cina dan India (Public awareness…, 1997, p.158). Program yang paling kerap ditonton di kalangan orang Melayu adalah berita (43.5%), hiburan (12.6%), drama (11.3%), dokumentari/pengetahuan am(8.1%), filem (7.1%), and lain-lain (17.4%). Lebih kurang 52.6% orang Melayu menyatakan bahawa mereka membaca setiap hari; hanya 9.7% menyatakan mereka jarang berbuat demikan. Bahagian akhbar yang kerap dibaca oleh orang Melayu adalah adalah hal-ehwal dalam negeri (43.7%), sukan (22.9%), hiburan (17.8%), hal-ehwal luar negara (7.4%) dan lain-lain (6.9%).
Satu lagi kajian memberi tumpuan kepada jurang digital di kawasan perumahan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, (Noor Bathi, dll., 2001). Kajian ini mempunyai sampel sebanyak 231 unit rumah, terdiri daripada 75 rumah Melayu, 96 China, 49 India dan 11 lain-lain. Kajian ini memperlihatkan bahawa 38.5% daripada unit rumah tersebut mempunyai komputer peribadi. Daripada 38.5%, 9.1% mempunyai dua komputer peribadi dan 4.5% mempunyai lebih daripada dua komputer peribadi. Di kalangan mereka yang ditemubual, 28.1% yang belum memiliki PC menyatakan hasrat mereka untuk membeli sebuah komputer di dalam masa yang terdekat, sama ada melalui wang simpanan, pengeluaran wang KWSP, sewa-beli atau pinjaman bank/majikan. Ini jelas menunjukkan bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia sedar betapa perlunya keluarga mereka didedahkan kepada penggunaan komputer. Mungkin hanya kekangan ekonomi sahaja yang tidak mengizinkan mereka berbuat demikian atau memiliki komputer. Daripada keseluruhan 982 responden, 50.6% menyatakan mereka menggunakan komputer di pelbagai tempat seperti di rumah, tempat kerja, sekolah, kafe siber dan rumah kenalan, dan bagi pelbagai tujuan (peribadi, kerja pejabat, projek sekolah dan hiburan). Apabila diminta membuat penilaian-kendiri tahap kemahiran komputer, 49.8% menyatakan bahawa mereka tidak tahu menggunakan komputer, 34% menyatakan bahawa mereka memiliki kemahiran asas, 12.6% dan 3.3% masing-masing menilai diri mereka sebagai memiliki kemahiran di tahap pertengahan dan mahir. Apa yang menjadi tandatanya di dalam kajian ini adalah lebih daripada separuh (61.3%) pengguna komputer tidak pernah menggunakan Internet, dan sejumlah 363 pengguna Internet di dalam kajian ini menggunakannya bagi tujuan komunikasi dan pencarian maklumat.
Hanya sejumlah peratusan yang kecil menggunakan Internet bagi tujuan penyelidikan, hiburan atau pembelian produk. Penggunaan Internet berdasarkan komposisi etnik menunjukkan bahawa 35% (128) adalah Melayu, sebahagian besar menggunakan Internet di tempat kerja, rumah dan kafe siber. Masyarakat Cina juga turut menunjukkan corak penggunaan Internet yang serupa, tetapi lebih separuh daripada mereka mempunyai akses Internet di rumah.
Tidak dapat dipastikan daripada hasil-hasil kajian yang disebutkan tadi bahawa adakah ia benar dan menyeluruh bagi masyarakat Melayu secara amnya. Bagaimana pun, hasil-hasil kajian tersebut jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu tidak buta ICT, sebaliknya mereka sedar kepentingan dan peranan teknologi maklumat di dalam kehidupan seharian mereka. Masyarakat Melayu peka terhadap isu-isu masa kini dan bersedia menggunakan pelbagai saluran maklumat awam sedia ada. Di kalangan mereka yang menggunakan Internet, komunikasi melalui mel elektronik dan pencarian maklumat adalah fokus utama. Namun, masyarakat Melayu perlu cekap mengakses maklumat dan belajar bagaimana menguruskan pengetahuan bagi menjamin kejayaan dan daya tahan dalam ekonomi baru. Jika tidak, masyarakat Melayu akan terus ketinggalan kerana arus perubahan teknologi dalam era ICT berlaku amat pantas. Misalnya, pada hari ini, tercipta suatu teknologi baru maka keesokan harinya, teknologi itu akan lapuk kerana akan wujud teknologi yang lebih baru. Tatkala itu, masyarakat Melayu akan terus terkejar-kejar dan mereka yang bernasib malang akan terjatuh serta memerlukan kekuatan baru untuk bangun dan terus berlari menyambung perlumbaan yang infiniti.
Bagiamana pun, di dalam menangani arus perubahan teknologi dalam era ICT dan pembentukan masyarakat Melayu berpengetahuan ini, governans yang menyokong, sama ada daripada pihak kerajaan atau rakyat, dan galakan penggunaan ICT untuk menyemarakkan pembentukan satu masyarakat berasaskan pengetahuan telah sedia ada. Faktor-faktor persekitaran seperti yang telah diperincikan di dalam Bahagian 2 merupakan perkara-pekara yang perlu diambil perhatian dan diiusahakan.
Satu persoalan lagi: Apakah wujudnya pangkalan-pangkalan ilmu yang relevan kepada masyarakat Melayu? Masyarakat Melayu memiliki repositori arkib dan sumber terkini yang kaya di dalam bidang bahasa, kebudayaan, sosiologi, ekonomi dan teknologi. Cendiakawan daripada seluruh dunia yang menjalankan kerja-kerja penyelidikan di dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu berpeluang menikmati pelbagai koleksi ini di perpustakaan universiti-universiti terawal, Dewan Bahasa dan Pustaka, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara. Kebanyakan daripada koleksi unik ini tidak didigitalkan, justeru itu akses kepada koleksi ini amat terhad. Namun kekangan sebegini tidak menghalang sarjana-sarjana daripada negara-negara Eropah yang telah bekerja keras menjalankan “leg work” yang perlu, di mana mereka berkunjung ke satu repositori ke satu repositori yang lain untuk mengkaji koleksi ini, manakala terdapat juga penyelidik-penyelidik luar yang menerbit dan menyebarkan hasil kerja mereka di luar negara menggunakan sumber-sumber tempatan, yang kini dijadikan rujukan oleh para cendekiawan tempatan pula. Situasi sebegini timbul kemungkinan ekoran daripada ketidakupayaan untuk mengenalpasti nilai dan kegunaan sumber-sumber di dalam bahasa-bahasa vernakular yang dapat diuruskan (secara berpusat atau teragih) melalui portal-portal yang berstruktur tinggi mengenai hasil kerja ilmiah dan seni masyarakat Melayu. Portal-portal begini boleh merangkumi sumber-sumber daripada manuskrip kepada data sosial dan ekonomi yang strategik. Pada masa kini, repositori maklumat sedemikian hanya wujud di dalam persekitaran yang tersisih, tidak mudah diakses atau didapati di dalam domain awam. Bagi meningkatkan aksesibiliti, apa yang amat diperlukan adalah usaha bersama dan sebulat suara untuk menghimpunkan sumber-sumber maklumat strategik, mengenai hal-hal Melayu dan oleh orang-orang Melayu. Persoalan hakcipta dan hakmilik masih disokong melalui infrastruktur IT yang terancang dan selamat, di mana akses kepada maklumat hanya diberikan kepada pengguna-pengguna yang sahih. Kekuatan info-struktur akan memberikan aksesibiliti dan perkongsian sumber daripada mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa sahaja. Ini dapat memenuhi keperluan untuk membangunkan kandungan maklumat tempatan yang pada akhirnya dapat memelihara perkongsian maklumat pada semua peringkat masyarakat.
Satu lagi perkara yang memerlukan perhatian khusus adalah promosi kemahiran maklumat dan literasi ICT. Seringkali kita diberitakan mengenai Persatuan-persatuan Masyarakat Cina dan Tamil yang menawarkan atau melaksanakan program-program kesedaran ICT untuk ahli-alhi komuniti mereka. Usaha yang sama perlu dipergiatkan oleh Persatuan-persatuan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu; Kesatuan Usahawan Melayu; Dewan Perdagangan Melayu dan persatuan-persatuan pelajar atau sosial yang berkenaan. Kesedaran ICT mungkin telah lama wujud, tetapi kemahiran ahli komuniti perlu disemai agar mereka tahu bagaimana mencari maklumat dengan efektif, memilih dan membuat keputusan yang betul berdasarkan maklumat yang diasimilasikan. Ini bererti lebih banyak sekolah-sekolah yang dapat berperanan sebagai pusat latihan untuk program-program literasi ICT untuk komuniti masing-masing perlu dilibatkan.
Di dalam situasi yang ideal, sekolah-sekolah, kolej-kolej dan universiti-universiti menyediakan tempat latihan dan tenaga pakar secara sukarela di dalam penghantaran program. Ini memerlukan governans yang menyokong pada semua peringkat di dalam komuniti, dasar-dasar awam yang lebih telus, mudah disebar dan diasimilasikan. Imperatif sesebuah masyarakat madani adalah bahawa setiap ahli seharusnya memperkembangkan kemahiran yang boleh membantu mereka dalam dunia di mana proliferasi, pengeluaran dan penyebaran maklumat mempengaruhi dan membentuk pekerjaan seharian dalam skala yang belum pernah dialami terdahulu.
Written by Tahir Ramly
Disember 18, 2009 at 7:37 pm
Dikirim dalam ILMU
TAKRIF TEKNOLOGI
Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia(Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas).
Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan gadget menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi.
Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi, yang mana teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah.
Takrifan teknologi yang diguna pakai di sekolah-sekolah dan institusi-insitusi pengajian tinggi di Malaysia ialah aplikasi pengetahuan sains yang boleh memanfaatkan serta menyelesaikan masalah manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
Teknologi dalam ideologi
Kerap kali, “baru” dianggap “lebih baik” dalam bidang teknologi atau kejuruteraan. Contohnya komputer baru lebih laju dari komputer lama, dan kereta baru lebih menjimatkan petrol dari kereta lama.
Pasti sebuah teknologi yang semakin berkembang akan menjadi lebih baik dan ianya semestinya mesra alamtologi. Supaya pencemaran dan kegagalan manusia untuk menangani kerosakan dapat dikurang serta akhirnya dihindari. Teknologi mesra alamtologi amat penting untuk kemajuan manusia.
Written by Tahir Ramly
Disember 14, 2009 at 10:43 pm
Dikirim dalam Takrif
SUATU PENDEKATAN BARU
Hari ini teknologi adalah segala-galanya. Ia terlibat dalam pelbagai bidang aktiviti … sama ada dalam aktiviti pembuatan makanan, kecantikan, perubatan, kesihatan, pengembaraan, bercucuk tanam, menternak haiwan, menangkap ikan, pendidikan, pembuatan, perhubungan dan banyak lagi. Teknologi telah mengubah cara dan corak hidup kita. Teknologi telah memberi kualiti kepada kehidupan kita. Teknologi yang diperkenalkan kepada kehidupan kita adalah hasil kajian dan penyelidikan eksostif yang dilaksanakan oleh para pakar dan saintis, dengan mengambil masa yang panjang dan melibatkan jumlah kewangan yang besar.
Apa pun hasil usaha kajian ini telah membawa satu erti dan suasana baru kepada kita. Hidup kita hari ini lebih lengkap dan dimudahkan dengan kehadiran teknologi. Teknologi telah menyebabkan ini.
Sememangnyalah, teknologi yang dibawa dan dihidangkan kepada kita, tidaklah diterima dengan ’sebulat suara’ oleh semua. Ada juga di antara kita yang berasa waswas dan curiga mengenainya. Ada yang berpendapat bahawa mereka tidak perlu teknologi baru dalam kehidupan mereka. Sudah memadai dan mencukupi keadaan dan cara hidup mereka tanpa menggunakannya hingga kini. Mereka berasa kehidupan mereka hingga kini, sudah cukup untuk mereka mengharungi tahun-tahun mendatang.
Jika kita lihat alam sekeliling, akan kita dapati teknologi di mana-mana. Di desa, di kawasan sawah padi, teknologi telah mempercepatkan usaha memotong padi …. telah membawa kesuburan yang baik kepada padi yang ditanam … telah menyediakan benih-benih padi yang bermutu untuk ditanam. Kemudian kita lihat pula di lautan. Nelayan menggunakan teknologi untuk mengenalpasti tempat terdapatnya ikan dengan banyak. Kemudian menggunakan teknologi pula untuk menyimpan ikan yang dinaikkan supaya tidak busuk sambil menunggu masa dibawa ke pantai. Di alam pendidikan pula teknologi dalam bentuk perkakasan komputer, telah membolehkan anak-anak di sekolah mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan dari sumber-sumber yang jauh letaknya dari pantai negara. Di pentas media massa pula, kita dapat menyaksikan peristiwa yang berlaku beribu batu jauhnya dari tempat kita melalui hubungan satelit. Dan begitulah seterusnya.
Akan tetapi, bukanlah semua menerima teknologi dengan senang. Ada yang mengatakan teknologi menyebabkan mereka pening kepala, apabila berdepan dan memikirkan konsep, teori, thesis dan sebagainya yang dibawa olehnya, iaitu selain dari cuba mengendali dan menggunakan peralatan yang dibawa bersama.
Encik Mohd Sulaiman Ag. Hassan, Penggawa Daerah Chetok, Pasir Mas, Kelantan berkata ’Bukan mudah kita hendak membawa teknologi yang bertujuan untuk mengubah cara dan corak hidup masyarakat, terutama masyarakat desa.’ Katanya kebanyakan anggota masyarakat sudah berasa selesa dengan keadaan hari ini tanpa dibawa teknologi baru kedalam kehidupan mereka. Tambahnya, ’Kadangkala hampa juga rasanya, apabila usaha kita tidak diterima. Apabila tiap usaha itu dicurigai.’ Encik Mohd Sulaiman bagaimana pun menyatakan bahawa jika kita tumpukan banyak perhatian kepada usaha memberi penerangan dan penjelasan, akhirnya idea, konsep atau teknologi baru akan dapat juga diterima oleh masyarakat.
Begitu juga pandangan Encik Ramle Ismail, ketua biro ICT di Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan. Katanya mula-mula beliau memperkenalkan ilmu ICT di kampungnya, masyarakat kebanyakannya tidak mahu menerimanya. Kepada mereka teknologi ini akan membawa bebanan kepada mereka. Mereka akan menanggung perbelanjaan yang besar untuk mengendalikan alat-alat komputer. ‘Tetapi akhirnya teknologi ini telah diterima dengan baik.’ katanya. Hari ini Encik Ramle telah dapat mewujudkan beberapa kumpulan ICT di kampungnya. Mereka sudah tahu faedah dan kegunaannya. Tambahnya, ’Ilmu ICT hari ini sudah menjadi darah daging kepada penduduk Kampung Kok Pasir.’
Sudah menjadi lumrah alam, bahawa yang baru sentiasa mendapat tentangan. Yang dilihat hanyalah pada keburukan yang dibawa oleh yang baru ini. Akan tetapi, jika penerangan dan penjelasan diberikan dengan baik dan sempurna, maka penerimaan itu akan tiba. Masyarakat akan menerima apa juga yang baru, jika mereka tahu bahawa yang baru itu lebih baik dari yang lama … dan akan membawa perubahan dalam kehidupan mereka … perubahan sesuai dengan keperluan masa hadapan.
Berlatarbelakangkan kepada hakikat di ataslah maka lamanweb ARENA TEKNOLOGI ini diwujudkan. Tujuan dan objektifnya ialah untuk memberi penerangan dan penjelasan selengkapnya mengenai hal-hal yang berkaitan dengan alam teknologi.
Dan teknologi yang akan kita tumpukan dalam lamanweb ini ialah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang merupakan punca, saluran dan sumber segala bentuk maklumat yang diperlukan untuk memberi penerangan dan penjelasan ehwal teknologi dalam kehidupan kita hari ini dan di masa hadapan.
Written by Tahir Ramly
Disember 14, 2009 at 9:06 pm
Dikirim dalam Pengenalan
Thursday, 22 April 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Pendemokrasian pendidikan hanya berlaku dengan syarat tiap-tiap keluarga ada sebuah komputer. Dengan adanya maklumat yang terkini, jurang ketidaksimbangan maklumat akan dirapatkan. Dengan demikian, melalui maklumat yang ada, ia boleh diproses untuk meningkatkan taraf hidup kita. Contohnya melalui ICT, p & p menjadi lebih menarik dan efisien. Dengan adanya pengetahuan tentang kanser, ia tidak digeruni lagi.
ReplyDeletePengaplikasian ICT secara berkesan hanya berlaku apabila modal Insan mengalami anjakan paradigma terhadap perubahan dan mengamalkan budaya pembelajaran yang positive.
ReplyDeletenice n3
ReplyDelete